Thursday, March 25, 2010

BORNEO POST

Kemalangan di tempat kerja menurun



Ia mencatat penurunan 30% iaitu daripada 81,810 kes, kepada 55,208 kes tahun lepas

KUCHING: Kes kemalangan di tempat kerja telah menunjukkan penurunan ketara sebanyak 30 peratus, kata Pengerusi Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara (NIOSH) Tan Sri Lee Lam Thye.Katanya ini menunjukkan keputusan positif kerana daripada 81,810 kes, ia menurun kepada 55,208 kes tahun lepas.

Beliau bagaimanapun, menambah lebih banyak usaha patut dilakukan oleh badan kerajaan untuk mensasarkan sifar kemalangan di tempat kerja.

“Penurunan peratusan yang tinggi menunjukkan petanda positif kerana kini ramai majikan mengambil berat isu keselamatan di tempat kerja.

“Bagaimanapun, jika kita mahu mencapai tahap sifar kemalangan, ia adalah proses yang berterusan,” katanya memberitahu media ketika sidang media selepas merasmikan Seminar Siasatan Kemalangan, Laporan dan Pencegahan anjuran NIOSH semalam.

Lee berkata, kemalangan di tempat kerja boleh dibahagikan kepada dua kategori iaitu kemalangan industri dan kemalangan sendiri.

Kemalangan industri telah mencatat penurunan daripada 63,423 pada 2002 kepada 20,814 tahun lepas manakala pekerja yang tercedera sendiri menunjukkan 34,394 kes dilaporkan berbanding 18,387 pada 2002, katanya.

Kemalangan sendiri katanya, adalah kecederaan yang bukan didapati di tempat kerja tetapi kerana kecuaian sendiri.

Peningkatan kemalangan sendiri, kata Lee kebanyakan pekerja industri menunggang motosikal dan mempunyai masalah kelakuan di jalan raya.

“Segelintir daripada mereka sangat cuai ketika menunggang motosikal dan kemalangan boleh berlaku jika mereka menunggang dengan laju dan cuai.

“Lebih-lebih lagi banyak industri yang semakin bertapak dan banyak pengambilan pekerja buruh dibuat pertambahan pengguna jalan raya..

“Keadaan binaan jalan raya yang tidak selamat sama ada jalan persekutuan atau jalan negeri katanya, juga menyumbang kepada faktor kemalangan jalan raya di kalangan pekerja,” katanya.

Lee berkata penunggang motosikal mesti memahami nilai kehidupan mereka kerana mereka merupakan pencari nafkah dalam sesebuah keluarga.

“Tunggang dengan selamat dan bersopan santunlah ketika berada di jalan raya,” tambah Lee.

KPDNKK

Kemalangan Semasa Ulang-alik Ke Tempat Kerja Semakin Meningkat - NIOSH

Tuesday, 02 March 2010
updated Tuesday, 30 November 1999



KUCHING, 1 Mac (Bernama) -- Sikap buruk rakyat Malaysia ketika memandu bukan hanya berlaku semasa musim cuti dan perayaan tetapi juga ketika dalam perjalanan ulang-alik ke tempat kerja. Pengerusi Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara (NIOSH) Tan Sri Lee Lam Thye berkata pada tahun lepas sebanyak 34,394 kes sedemikian dilaporkan berlaku berbanding hanya 18,187 pada 2008, dan kebanyakannya melibatkan penunggang dan pembonceng motosikal. "Kes kemalangan industri menurun secara drastik daripada 35,947 kes pada 2008 kepada 20,814 kes tahun lepas berikutan peningkatan kesedaran keselamatan, tetapi kemalangan semasa pergi dan balik kerja semakin membimbangkan," katanya kepada pemberita selepas merasmikan seminar sehari berkenaan pencegahan dan laporan siasatan kemalangan, di sini Isnin. Lee berkata kemalangan semasa ulang-alik ke tempat kerja telah didefinisikan sebagai kemalangan yang berlaku ketika pekerja dalam perjalanan ke tempat kerja dan pulang ke rumah selepas tamat waktu bekerja. "Antara faktor yang dikenalpasti sebagai sumber peningkatan kes kemalangan kategori itu adalah kesilapan manusia seperti tidak menumpukan perhatian kepada aspek keselamatan semasa menunggang atau memandu atau keadaan jalan raya," katanya. Bagi menangani masalah itu, Lee berkata NIOSH dan para majikan merancang untuk mengadakan kursus kemahiran pemanduan secara berhemah bagi golongan pekerja. Sementara itu Pengarah Jabatan Kesihatan dan Keselamatan Pekerjaan Sarawak Dasuki Mohd Heak berkata pihaknya sedang mencari jalan untuk meningkatkan kesedaran pada kalangan pengusaha Industri Kecil dan Sederhana negeri dan industri pembalakan bagi mengurangkan risiko kemalangan industri. Beliau berkata walaupun ada petunjuk bahawa majikan di negeri itu sudah mempunyai kesedaran untuk melindungi dan mendidik pekerja mereka berkenaan risiko kemalangan, masih ada beberapa bidang yang perlu diperbaiki. Katanya sepanjang tahun lepas sejumlah 344 kes kemalangan industri dilaporkan di Sarawak dan kebanyakannya berlaku dalam sektor pembinaan dan perkilangan. Beliau turut memberi amaran kepada majikan agar tidak menyembunyikan kes kemalangan industri kerana ia suatu kesalahan, dan sehingga kini sebanyak 11 kes telah dibawa ke mahkamah sementara 20 lagi dalam proses siasatan. -- BERNAMA

BERNAMA.COM

16 Mac, 2010 20:49 PM

Kemalangan Perjalanan Ulang-alik Tempat Kerja Meningkat 9 Peratus Tahun Lepas

PETALING JAYA, 16 Mac (Bernama) -- Kemalangan yang berlaku semasa berulang-alik ke tempat kerja meningkat sembilan peratus tahun lepas kepada 20,814 kes berbanding 19,041 pada tahun sebelumnya.

Timbalan Menteri Sumber Manusia Senator Datuk Maznah Mazlan berkata berdasarkan analisis Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) 80 peratus daripada kes itu melibatkan kaum lelaki.

Sebahagian besar daripada statistik kemalangan itu berlaku pada kalangan mereka yang berusia bawah 20 tahun, katanya kepada pemberita selepas melancarkan video mengenai keselamatan di tempat kerja bertajuk 'Bangunlah', di sini hari Selasa.

Sehubungan itu beliau berkata pihaknya akan berusaha meningkatkan tahap kesedaran pada kalangan pekerja melalui penganjuran bengkel, seminar dan menggunakan medium iklan.

"Kita ada hampir 10 juta golongan pekerja yang mana produktiviti, daya saing dan kemampuan mereka penting dalam menentukan tahap kemajuan Malaysia," katanya.

Mengulas mengenai kemalangan di tempat kerja pula, Maznah berkata statistik Perkeso menunjukkan sedikit pengurangan iaitu 34,394 kes tahun lalu berbanding 35,092 pada tahun 2008.

Maznah yang juga Pengerusi Majlis Negara bagi Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan berkata statistik juga menunjukkan 18 peratus daripada jumlah kes yang berlaku pada tahun lepas dan tahun 2008 disebabkan tiga punca iaitu tergelincir, tersadung dan terjatuh.

-- BERNAMA

BERNAMA.COM

25 April, 2009 17:43 PM

Kes Kematian Dan Kemalangan Di Tempat Kerja, Menurun

BANGI, 25 April (Bernama) -- Jumlah kes kematian di tempat kerja yang dilaporkan tahun lepas menurun kepada 690 kes berbanding 748 kes pada tahun sebelumnya, kata Menteri Sumber Manusia Datuk Dr S. Subramaniam.

Subramaniam berkata untuk kes kecederaan yang dilaporkan pula ialah sebanyak 44,918 kes pada tahun lepas berbanding 47,469 kes pada 2007.

Mengenai laporan kegagalan majikan menyediakan ciri-ciri keselamatan di tempat kerja pula, beliau berkata sehingga bulan ini, sejumlah 78 kes dilaporkan manakala 300 kes sama dicatatkan pada tahun lepas.

"Meskipun terdapat penurunan dalam kes kematian dan kemalangan, kementerian masih mendapati tahap kesedaran mengenai keselamatan di tempat kerja di negara ini masih lagi rendah," katanya kepada pemberita selepas merasmikan pra pelancaran Hari Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Sedunia 2009.

Justeru itu, kementerian melalui agensi di bawahnya seperti Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) dan Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (NIOSH) akan memperhebat usaha audit keselamatan premis pekerjaan.

"Sebanyak 995 premis pekerjaan akan diaudit pada tahun ini berbanding 704 pada tahun lepas," katanya.

-- BERNAMA

HARIAN METRO

Ramai majikan tidak lapor kemalangan di tempat kerja


Harian Metro – 11 Ogos 2009 (Selasa)

SUBANG JAYA: Masih ramai majikan negara ini gagal mematuhi peraturan ditetapkan kerajaan apabila enggan melaporkan kemalangan yang berlaku di tempat kerja kepada Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (Dosh) dalam tempoh tujuh hari.

Mengikut rekod tahun lalu, hanya kira-kira 1,500 kes kemalangan di tempat kerja yang dimaklumkan kepada Dosh berbanding sejumlah 54,134 kes dikendalikan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso).

Timbalan Menteri Sumber Manusia, Senator Datuk Maznah Mazlan (gambar), berkata perbezaan rekod yang ketara antara dua agensi itu menunjukkan tahap kepekaan majikan masih di takuk lama yang mengabaikan kepentingan laporan kemalangan kepada pihak berkuasa.

Katanya, beliau kecewa sikap majikan yang ‘memburu’ bayaran ganti rugi daripada kecederaan pekerja, tetapi mengabaikan keperluan melapor kemalangan.

“Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994 menyatakan supaya semua kemalangan berlaku di kawasan pekerjaan hendaklah dilaporkan,” katanya.

MY METRO

Juruterbang TUDM maut pesawat terhempas di UUM

2010/03/25

ALOR SETAR: Seorang juruterbang Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), Mejar Zulrihan Jusoh terbunuh apabila pesawat latihan jenis Pilatus PC-7 yang dipandunya
terhempas di kawasan dekat kampus Universiti Utara Malaysia (UUM) di Sintok kira-kira jam 10 pagi ini.

Difahamkan ketika kejadian mangsa sedang membuat persembahan sempena perasmian Ekspo Konvokesyen universiti itu pagi ini.


Menurut jurucakap TUDM, mayat juruterbang itu sudah ditemui dan dikeluarkan dari tempat kejadian menggunakan sebuah helikopter TUDM.


Beliau mengesahkan bahawa ketika kejadian, hanya seorang juruterbang berada dalam pesawat itu yang berpangkalan di Kepala Batas di sini.-Bernama

ONDSCENE.MY



Anak Pengarang Kumpulan Berita Ehwal Semasa NTV7,TV8,TV9 Maut Kemalangan


Subang Jaya
Selangor
22 Mac, 2010

Anak bongsu Pengarang Kumpulan Berita dan Hal Ehwal Semasa NTV7, TV8 dan TV9 maut dalam kemalangan jalanraya di USJ3, Subang Jaya awal pagi tadi.

Mohd Ikhwanul Ashraf Manja, 18 tahun, cedera parah apabila kereta dipandunya hilang kawalan lalu melanggar bahun tembok simen.

Akibatnya, kereta Proton Saga terbabit tercampak 26 meter dan mangsa terpelanting keluar dari keretanya.

Mangsa ditemui kira-kira 5 meter dari keretanya.

Ketua Trafik dan Ketenteraman Awam Selangor, Supt Che Hussin Omar mengesahkan kejadian tersebut.

Mohd Ikhwanul Ashraf , bekas pelajar Kolej Melayu Kuala Kangsar, merupakan anak bongsu Datuk Manja Ismail yang juga Pengarang Rangkaian Radio Kumpulan Media Prima.

Jenazah dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Bukit Kiara petang tadi.

Al Fatihah