Thursday, March 25, 2010

BERNAMA.COM

16 Mac, 2010 20:49 PM

Kemalangan Perjalanan Ulang-alik Tempat Kerja Meningkat 9 Peratus Tahun Lepas

PETALING JAYA, 16 Mac (Bernama) -- Kemalangan yang berlaku semasa berulang-alik ke tempat kerja meningkat sembilan peratus tahun lepas kepada 20,814 kes berbanding 19,041 pada tahun sebelumnya.

Timbalan Menteri Sumber Manusia Senator Datuk Maznah Mazlan berkata berdasarkan analisis Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) 80 peratus daripada kes itu melibatkan kaum lelaki.

Sebahagian besar daripada statistik kemalangan itu berlaku pada kalangan mereka yang berusia bawah 20 tahun, katanya kepada pemberita selepas melancarkan video mengenai keselamatan di tempat kerja bertajuk 'Bangunlah', di sini hari Selasa.

Sehubungan itu beliau berkata pihaknya akan berusaha meningkatkan tahap kesedaran pada kalangan pekerja melalui penganjuran bengkel, seminar dan menggunakan medium iklan.

"Kita ada hampir 10 juta golongan pekerja yang mana produktiviti, daya saing dan kemampuan mereka penting dalam menentukan tahap kemajuan Malaysia," katanya.

Mengulas mengenai kemalangan di tempat kerja pula, Maznah berkata statistik Perkeso menunjukkan sedikit pengurangan iaitu 34,394 kes tahun lalu berbanding 35,092 pada tahun 2008.

Maznah yang juga Pengerusi Majlis Negara bagi Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan berkata statistik juga menunjukkan 18 peratus daripada jumlah kes yang berlaku pada tahun lepas dan tahun 2008 disebabkan tiga punca iaitu tergelincir, tersadung dan terjatuh.

-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment